KUANTAN: Sebanyak 520 panggilan berhubung kes kebakaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri bagi tempoh lima bulan bermula Januari lalu.
Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 289 kes atau 35.7 peratus berbanding 809 panggilan yang diterima dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, bagi kes kebakaran struktur, terdapat peningkatan iaitu sebanyak 64 kes berbanding 61 kes bagi tempoh sama.
Menurutnya, setakat ini, terdapat tiga kes melibatkan kematian dalam rumah berbanding satu kes tahun lalu.
“Bagi kes kebakaran kenderaan pula, sebanyak 94 kes diterima berbanding 80 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Pada tahun lalu, sebanyak 400 kes pembakaran terbuka direkodkan namun telah menunjukkan penurunan apabila hanya direkodkan 164 kes kebakaran setakat tempoh lima bulan ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Tamat Kursus dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Mohammad Zaidi berkata, nilai taksiran kerugian akibat kebakaran di Pahang tahun ini dianggarkan mencecah RM11.2 juta berbanding RM18.9 tahun sebelumnya namun taksiran nilai harta diselamatkan pula adalah RM 82.2 juta, berbanding lebih RM129 juta tahun lalu.
“Dalam usaha penyelamat pula, sebanyak 865 panggilan diterima sehingga Mei tahun ini berbanding 1,307 panggilan tahun lalu.
“Bagi kes kemalangan jalan raya, sebanyak 164 kes diterima tahun ini dengan 41 kematian sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan 157 kes melibatkan 26 kematian,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, sehingga Mei ini, sebanyak 11 kes lemas dilaporkan dengan kematian melibatkan 12 mangsa berbanding 10 kes dengan 16 kematian tahun lalu.
“Pihak kami menerima tiga panggilan kes banjir kilat untuk kerja-kerja pemindahan mangsa dan dua kes diterima melibatkan insiden kepala air dengan satu kematian dilaporkan.
“JBPM Pahang sentiasa bersiap siaga berkaitan kes insiden banjir kilat dan kepala air terutama melibatkan kawasan penempatan dan kawasan rekreasi,” katanya. –UTUSAN