pandu lawan arus

Pandu lawan arus: Mayat 4 mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam

Keadaan Proton Wira Sedan yang remuk akibat bertembung dengan sebuah Wira Aeroback dalam kemalangan di KM 12.8 Lebuhraya NKVE berdekatan susur keluar Subang di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mayat empat mangsa yang terlibat dalam kemalangan akibat sebuah kereta didapati dipandu secara lawan arus di Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan itu adalah antara lima mangsa yang telibat dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira Aeroback dan Wira Sedan di Kilometer (KM) 12.8 arah Kuala Lumpur berdekatan susur keluar Subang.

Mereka yang maut adalah Puvaaneshwaran Paranjothi, 28, (pemandu Wira Aeroback) dipercayai berasal dari Felda Bukit Rotan, Negeri Sembilan serta pemandu dan penumpang Wira Sedan, Lai Mun Fai, 28, (Seremban), Eng Siew Hooi, 30, (Kepong) dan Leong Man Yuen, 27, (Seremban).

Sementara seorang lagi penumpang Wira Sedan, Heng Chan Yee, 27, yang juga berasal dari  Seremban, Negeri Sembilan mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati seorang pemandu memandu secara melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

“Kedua-dua pemandu motokar tersebut termasuk dua orang penumpang kereta Wira Sedan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang penumpang Wira Sedan mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat waris,  pemandu dan penumpang Wira Sedan dipercayai sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan pada pukul 4.11 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744 untuk membantu siasatan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN