Pandang serius saranan Mursyidul Am atau Pas hilang kerusi

Pandang serius saranan Mursyidul Am atau Pas hilang kerusi

KAMARUDIN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kepemimpinan Pas perlu memandang serius saranan dilontarkan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu perlu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas perkara itu kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sidek berkata, Pas bakal kehilangan banyak kerusi disandang seandainya masih kekal dengan pendirian mahu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, situasi itu telah terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana terdapat ahli yang tidak selesa dengan keputusan berkenaan, lantas tidak keluar mengundi.

“Saya serta ahli di bawah secara peribadi amat bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am untuk menggunakan logo Pas dalam PRU15. Ini berdasarkan kajian keputusan PRN di Melaka dan Johor yang lalu. 

“Pas perlu mengambil kira pandangan ini secara serius kerana kalau tersilap strategi, kesannya amat buruk kepada pengaruh parti serta dikhuatiri kehilangan banyak kerusi. Saya setuju pandangan Mursyidul Am itu kerana kekeliruan logo PN semasa PRN Melaka memang benar-benar berlaku.

“Saya sudah maklumkan kepada pimpinan parti dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa berlangsungnya PRN. Tetapi malangnya ia berulang juga di PRN Johor. Terdapat juga ahli tidak selesa ketika itu bahkan ada yang tidak keluar mengundi,” katanya yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Melaka.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Hashim menegaskan bahawa penggunaan logo Pas yang sudah dikenali ramai sejak 70 tahun lalu akan membantu memberi kelebihan kepada calon-calon parti itu untuk menang.

Bagaimanapun, katanya, segala keputusan mengenai pemilihan logo yang bakal digunakan dalam PRU15 adalah terserah kepada Majlis Presiden PN memutuskannya.

Dalam pada itu, Kamarudin menambah, keputusan berkenaan penggunaan logo tidak boleh dilengah-lengahkan memandangkan ia amat memberi kesan terhadap gerak kerja jentera untuk bersiap menghadapi PRU15 yang bakal berlangsung bila-bila masa sahaja.

“Justeru itu, Pas perlu bertindak segera membuat keputusan yang jelas dalam perkara ini, jangan bertindak di saat akhir, ia akan menyukarkan ahli bergerak dalam PRU15,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.