KUALA PILAH: Tinggal di kawasan pedalaman yang terletak 25 kilometer jauhnya dari sekolah, kemudian berdepan pula kesukaran untuk belajar secara dalam talian bukan halangan buat pelajar Orang Asli, Nur Fara Niza Zainal untuk meraih 7A dalam keputusan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nur Fara dari suku Temuan berkata, kejayaan itu hasil kegigihannya untuk menyertai semua sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), usaha dan bantuan guru-guru dan lebih penting sokongan dan doa kedua ibu bapanya yang mahu melihat dirinya berjaya.
Katanya, segala kesukaran yang dihadapinya itu tidak sedikitpun mematahkan semangat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas) itu.
“Saya cuba sedaya upaya untuk menghadirkan diri dalam setiap kelas yang diadakan. Saya tidak pernah ponteng kelas sehingga cikgu pernah memberikan hadiah serta wang sebagai tanda sokongan.
“Keluarga juga sangat membantu dengan menyediakan segala keperluan komputer riba dan telefon bimbit untuk saya belajar. Saya juga dikelilingi dengan rakan yang baik selalu memberi dorongan dan semangat kepada saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nur Fara Niza menambah, jarak sekolah dengan rumahnya di Kampung Orang Asli Guntur, Tengkek, Batu Kikir, di sini adalah sejauh 25 kilometer dan dia perlu menaiki van ke sekolah pada setiap hari sejak di tingkatan satu.
“Jika ada kelas tambahan, saya perlu kekal berada di sekolah sehingga petang dan tidak pulang terlebuh dahulu ke rumah kerana jarak yang jauh,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah. – UTUSAN










