JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepatutnya menggunakan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai platform untuk membentangkan dasar kerajaan pimpinannya demi kesejahteraan rakyat, bukannya hanya beretorik politik semata-mata.
Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong berkata, platform itu menjadi saluran bagi kepemimpinan negeri khususnya Menteri Besar menjawab pelbagai persoalan berkenaan kesejahteraan rakyat.
Justeru, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor kecewa kerana Onn Hafiz yang menggelar diri sebagai pemimpin muda telah memilih cara lama dan lapuk untuk berpolitik dalam sidang DUN.
“Beliau hanya mengeluarkan tohmahan politik terhadap pembangkang tanpa menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau, sekali gus gagal membuka lembaran baharu untuk menjadikan Johor negeri teladan dalam politik matang yang transformatif.
“Ucapan ulung Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar di DUN Johor kelmarin memang dinanti-nantikan kerana ramai mempunyai harapan tinggi beliau akan menonjolkan kualiti kepimpinan transformasi atau ‘transformative leadership’.
“Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Saya kecewa kerana Onn Hafiz walaupun muda orangnya, telah memilih cara lama dan lapuk untuk berpolitik. Ucapan penggulungan beliau lebih terarah memenangi hati penyokong sendiri kerana ura-ura Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi sedangkan seorang Menteri Besar sepatutnya tidak mengelak atau melarikan diri daripada menjawab serta menjelaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Chin Tong sebaliknya memuji kepemimpinan dan kematangan berpolitik ditunjukkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
“Walaupun saya bukan Ahli Dewan Negeri ketika Datuk Seri Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar Johor, namun saya mengikuti semua ucapan beliau di Dewan Negeri, lebih daripada separuh ucapan beliau menyentuh dasar dan rancangan kerajaan.
“Untuk membantu kerajaan Johor, saya telah mengemukakan tiga cadangan kepada Onn Hafiz, iaitu penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri, pembentangan resolusi Dewan Negeri untuk menggesa kerajaan Pusat memperkasakan kuasa negeri, dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Johor untuk mengkaji perkara ini.
“Onn Hafiz menolak Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri atas alasan kononnya tidak mahu berlaku ketegangan hubungan di antara kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri, manakala dua lagi cadangan diketepikan begitu sahaja walaupun beliau tahu kedua-duanya penting untuk Johor,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling berkata, sikap berpolitik sedemikian tidak akan membawa perubahan sistematik dalam hubungan kerajaan Persekutuan dengan negeri. – UTUSAN











