PETALING JAYA: Nelayan kecil yang menangkap ikan di kawsan pesisir pantai negara berisiko hilang mata pencarian jika aktiviti penangkapan ikan yang dikuasai nelayan yang menggunakan peralatan menangkap ikan pukat naga yang turut mengaut anak-anak ikan tidak dihapuskan.
Namun, usaha itu bukan mudah kerana nelayan berkenaan mempunyai rangkaian perisikan dan pengintipan sendiri bagi memintas operasi pihak berkuasa di tengah lautan.
Ia bagi ‘menyelamatkan’ bot masing-masing daripada dikenakan tindakan oleh penguat kuasa kerana melanggar undang-undang berkaitan perikanan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman industri berkata, strategi licik tersebut diguna pakai di seluruh negara sekali gus membolehkan mereka membina rangkaian perikanan mega sehingga mampu menyimpan stok ikan sebanyak lebih 25,000 tan metrik pada satu-satu masa.
“Di Pulau Pinang misalnya, mereka ada bot kecil meronda lautan, lepas itu kononnya mereka mengiringi penyelam skuba sedangkan yang atas bot itu adalah ejen kepada orang tengah ini.
“Ejen itu mengintip kalau ada pergerakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Di Pulau Pinang, ada dua sahaja bot APMM. Sedangkan bot milik orang tengah dan bot pukat tunda sahaja pun mencecah 60 buah.
“Jika ejen ini nampak ada operasi penguatkuasaan, mereka memaklumkan kepada ejen di darat supaya bot-bot mereka beredar untuk mengelakkan ditahan,” kata sumber di sini, semalam.
Untuk rekod, kapasiti penyimpanan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) cuma kira-kira 1,500 metrik tan bagi seluruh negara, bermakna kapasiti orang tengah adalah hampir 20 kali ganda lebih besar berbanding kerajaan.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kewujudan orang tengah industri ikan yang cukup berkuasa mencengkam seluruh rantaian sektor perikanan negara.
Kata Syed Abu Hafiz, mereka hampir mustahil boleh ditembusi kerana rangkaian dan rantaian yang terlalu luas, bermula seawal menguasai nelayan-nelayan di tengah lautan sehinggalah mempunyai pengaruh di pasar-pasar yang menjual ikan kepada rakyat.
Dalam pada itu, menurut sumber, orang tengah perikanan di Pulau Pinang juga menyewa sebuah bilik di tingkat paling atas sebuah kondominium tepi pantai dan meletakkan teropong berkeupayaan tinggi untuk meninjau bot-bot penguat kuasa yang turun ke laut membuat operasi tangkapan terhadap nelayan melanggar undang-undang.
“Dikhabarkan bahawa mereka menyewa sebuah bilik dalam kondo di tingkat yang tinggi, ini di Batu Maung. Mereka gunakan bilik tersebut untuk membuat tinjauan, nak tengok bila bot Maritim Malaysia atau Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pergi ke laut untuk membuat penguatkuasaan.
“Hanya kerajaan yang boleh membanteras kegiatan taikun dan orang tengah industri ikan ini. Kerajaan ada kapasiti untuk beli ikan dari nelayan kecil-kecilan untuk disimpan sebagai stok ikan negara,” katanya. – UTUSAN










