Nasib banduan hukuman mati mandatori diketahui esok

Nasib 2,000 banduan hukuman mati mandatori diketahui esok

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib 2,000 banduan akhir yang sedang menunggu giliran untuk digantung sampai mati akan diketahui esok ekoran keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Bercakap kepada Utusan Online, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan membuat penjelasan berhubung status pesalah yang telah dihukum mati dalam satu sidang akhbar Isnin ini.

“Saya akan membuat sidang akhbar dan kenyataan ber­hu­bung perkara ini pada 13 Jun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan nasib 2,000 banduan akhir yang menunggu untuk digantung sampai mati perlu disemak semula ekoran pengumuman kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Pelaksanaan hukuman mati mereka sebelum ini ditangguhkan susulan langkah moratorium diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 yang mahu mengkaji hukuman mati sebagai langkah reformasi perundangan negara.

Pengamal undang-undang berpandangan mereka berhak mendapat hukuman gantian yang boleh ditentukan oleh Lembaga Pengampunan berikutan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati ber­kenaan.

Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood memberitahu, banduan akhir tidak terkesan dengan pemansuhan tersebut kerana prinsip pindaan undang-undang hanya membabitkan perkara ke hadapan dan bukannya ke belakang.

“Ini bermaksud pemansuhan ini melibatkan hukuman bakal dikenakan terhadap mana-mana pesalah bakal dituduh, bukannya kepada yang telah dihukum, dituduh dan sedang dibicarakan di mahkamah,” jelasnya.

Bagaimanapun jelasnya, me­reka berhak dapat hukuman lain setelah Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja dan Yang Dipertua Negeri memberi ampun terhadap kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan negeri ma­sing-masing di atas nasihat Lembaga Pengampuan seperti mana di­peruntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi orang kena tuduh membabitkan 11 kesalahan hukuman mati mandatori yang baharu dituduh atau sedang dibicarakan pula, kerajaan perlu mewujudkan satu akta dan mekanisme khusus sebagai transisi kepada hukuman gantian lain.

“Soalnya sekarang apa hu­kuman gantian yang di­sebutkan menteri semalam, itu belum diputuskan ke­rana kajian khusus akan dilakukan berkaitan cadangan hukuman itu,” katanya.

Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori yang membabitkan 11 kesalahan di negara ini dengan hukuman gantian yang tertakluk budi bicara mahkamah.

Terdapat 11 kesalahan membawa hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN