Nahas lima sekeluarga: Arwah pelawa ibu ke Pahang

Nahas lima sekeluarga: Arwah pelawa ibu ke Pahang

LIMA sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang, Pahang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: “Dua kali dia ajak emak ke Pahang tetapi emak tidak mahu pergi,” kata Mohd. Yusof Ibrahim, 35, abang kepada Muhammad Rosli iaitu mangsa yang maut dalam nahas meragut nyawa lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang, Kuantan, Pahang, kelmarin.

Mohd. Yusof berkata, adiknya yang juga anak ke 10 daripada 13 beradik sangat beria-ria mempelawa ibu mereka ke kampung isteri arwah di Felda Chini , Pekan, Pahang untuk menguruskan hal keluarga namun wanita itu enggan turut serta.

“Pagi semalam (kelmarin) sebelum bertolak pun dia ada hubungi emak lagi untuk mengajak. Emak memang tidak pernah lagi ikut mereka ke Pahang.

“Selalunya ibu mentua dia sahaja yang pergi sebab ada saudara-mara di sana tetapi kali ini, ibu mentua dia pun tidak pergi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, di sini, semalam.

Mohd. Yusof berkata, ibu mereka, Rakiah Md. Noh masih terkejut dan seperti tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai nahas yang meragut nyawa lima beranak itu sehinggakan dia terdiam agak lama.

Katanya, dia dan adik beradik lain lambat memberitahu kejadian tersebut kepada wanita itu kerana ingin mengesahkan mangsa terlibat dalam nahas berkenaan adalah keluarga adiknya.

“Emak macam tidak percaya dan tanya betul ke (Rosli terlibat kemalangan)? Kami beritahu betul tetapi tidak beritahu satu keluarga terkorban. Bila dia tanya cucu, barulah kami berterus-terang.

“Emak terkejut dan cakap ‘Ya Allah, anak aku’. Dia macam terpana, lama sikit baru dia menangis,” katanya.

KEADAAN kereta Toyota Corolla yang remuk akibat bertembung dengan treler dalam kemalangan meragut nyawa lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, Gambang, Kuantan, Pahang. – IHSAN JBPM PAHANG

Dalam nahas kira-kira pukul 3.15 petang itu, kereta Toyota Corolla dinaiki Allahyarham Muhammad Rosli bertembung dengan treler jenis Nissan yang turut meragut nyawa empat ahli keluarganya.

Selain Muhammad Rosli, 33, mangsa lain yang maut ialah isterinya, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, serta anak mereka, Nur Safwa Irdina, 7, dan Nur Sofea Rajda, 6, serta bayi berusia setahun dua bulan, Rizqy Ramadhan.

Mohd. Yusof berkata, orang pertama yang tahu tentang kejadian itu adalah abangnya yang dimaklumkan rakan-rakan melalui kumpulan aplikasi WhatsApp kereta sebelum menghubunginya dan meminta membuat semakan.

“Ketika terima gambar kemalangan itu, saya terus hubungi adik ipar tetapi tidak berjawab, saya hubungi Rosli pun sama, talian tidak dapat.

“Saya sebenarnya yakin, Rosli memang terlibat dalam kemalangan kerana cam kereta dia. Kereta itu baru sahaja dibeli daripada jiran. Sebab itu, rakan-rakan abang boleh tahu memang Rosli terlibat kerana mereka kenal kereta itu,” katanya yang kali terakhir berjumpa Rosli pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tambahnya, tiada perubahan ketara yang dilihat pada adiknya yang bekerja sebagai pemandu bas melainkan dia kelihatan gembira ketika adik-beradik lain berkumpul di rumahnya di Bagan Serai, dekat sini, baru-baru ini.

“Arwah ini perwatakannya periang dan ringan tulang. Dia kesayangan emak dan ibu mentua, tambahan isterinya cuma dua beradik.

“Hubungan kami adik-beradik memang rapat sebab itu rasa susah untuk percaya apa yang terjadi sebab kami baru sahaja berkumpul. Arwah rajin melayan anak-anak buah, semasa berkumpul itu pun, dia belanja mereka seluar,” katanya.

Ujarnya, jenazah lima beranak itudikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong di sini selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya