MQA jamin selesai isu pengiktirafan program universiti di Turki - Utusan Malaysia

MQA jamin selesai isu pengiktirafan program universiti di Turki

MOHAMMAD Shatar Sabran (dua dari kanan) bersama wakil MASAT di Turki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pengiktirafan program yang dihadapi pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Turki. 

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Pengajian Tinggi Turki (YOK) yang berpangkalan di Çankaya, Ankara untuk membincangkan perkara berkenaan.

Menurut beliau,  pertemuan berkenaan bertujuan bagi mencapai persetujuan untuk mengiktiraf program yang ditawarkan oleh universiti dalam senarai pemantauan dan seliaan di kedua-dua negara.

“Jadi, kita harapkan pertemuan ini akan dapat merungkai isu akreditasi yang telah membelenggu pelajar Malaysia di Turki yang difahamkan bermula sejak 2017 lagi.

“Insya-Allah MQA akan membuat persediaan sewajarnya untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh terdekat,” katanya ketika pertemuan dengan pelajar Malaysia di Turki, Malaysian Student Association In Turkey (MASAT) yang menjadi satu daripada aktiviti delegasi lawatan kerja Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke Turki.

Pada lawatan itu, Noraini turut bertemu dengan pelajar Malaysia bagi mendengar isu yang dihadapi mereka sepanjang mengikuti pengajian di sana. 

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam daftar eSisraf yang diselenggara oleh MQA.

“Perkara ini terkandung dalam Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara yang boleh diakses pada pautan https://www.mqa.gov.my/pv4/recognition.cfm

“Borang Pengesahan Pengiktirafan Kelayakan Berdasarkan Pengiktirafan di Negara Asal boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.mqa.gov.my/pv4/recognition2.cfm,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN