Mohd. Shafie mahu RUU Anti Lompat Parti dipercepatkan - Utusan Malaysia

Mohd. Shafie mahu RUU Anti Lompat Parti dipercepatkan

dap
MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas seorang demi seorang wakil rakyatnya keluar melompat parti, Parti Warisan (Warisan) mahu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti segera dibentangkan di Parlimen.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bidang kuasa menyegerakan pembentangan itu terletak di bawah kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, situasi politik di negara ini amat membimbangkan kerana budaya membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat masih lagi berlaku dalam kalangan parti-parti politik.

Maka, beliau berharap budaya sebegitu akan dihentikan dan pembentangan RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

“Budaya beli-membeli wakil rakyat bercanggah dengan niat parti-parti politik dalam Jawatankuasa Pemilihan Khas yang mahukan RUU ini dilaksanakan.

“Semasa saya hadir ke Parlimen, saya dah maklumkan jangan lambatkan sangat pembentangan itu, penangguhannya pelbagai. Saya hadir sesi Parlimen itu tapi, tiada pun pembentangan.

“Ini menyedihkan kita kerana dalam beberapa pihak berusaha memastikan supaya RUU ini dibawa ke Parlimen dengan segera, ia ditangguhkan. 

“Jadi, saya harap Perdana Menteri yang mempunyai bidang kuasa menentukan tarikh pembentangan RUU ini di Parlimen dapat mempercepatkan pembentangan itu,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kandungan RUU itu masih belum diketahui namun, sebelum memberikan sokongan dan jika ada perkara perlu diperbetulkan, boleh diperbetulkan agar pelaksanaan RUU itu dapat mencegah daripada kejadian lompat-melompat.

RUU itu perlu mempunyai hukuman yang setimpal dan boleh mencegah budaya lompat pada masa akan datang.

Mohd. Shafie berkata, beliau agak kecewa kerana amalan sistem demokrasi negara ini seperti tidak berfungsi kerana setelah memenangi pilihan raya masih wujud budaya lompat dan wakil rakyat dibeli.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, enam wakil rakyat Warisan bertindak keluar parti bagi menyertai parti dalam kerajaan serta parti yang mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya