KUANTAN: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjun dari jambatan Sungai Kuantan, di Tanah Putih, kelmarin ditemukan terapung di sungai terbabit, hari ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 10.15 pagi oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian di sekitar jambatan berkenaan.
Katanya, mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai mekanik dipercayai bertindak membunuh diri.
“Pasukan penyelamat menemukan mangsa di hari kedua pencarian pada jarak kira-kira enam kilometer daripada lokasi dia dilaporkan terjun.
“Dalam kejadian semalam, mangsa yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarga disyaki terjun dari jambatan berkenaan berikutan penemuan keretanya di lokasi.
“Mangsa dikatakan mengalami kemurungan sejak dua bulan lalu kerana mengalami kerugian dalam perniagaan bengkel kereta yang diusahakannya. Dia pernah mengugut mahu membunuh diri berikutan berasakan menjadi punca kepada kegagalan itu walaupun selepas dinasihati keluarganya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN