KANGAR: Etika kewartawanan perlu sentiasa diberi perhatian dan keutamaan oleh seluruh pengamal media bagi memastikan mereka mengekalkan sikap profesional dan berintegriti dalam menyalurkan berita yang sahih serta adil.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengamal media juga berperanan menyampaikan mesej yang positif kepada masyarakat dalam rangka mewujudkan generasi madani.
Selain itu, titah baginda, media mempunyai peranan besar dalam membantu agensi menyampaikan maklumat dan perkembangan mereka.
“Jasa, kesungguhan, pengorbanan dan peranan para pengamal media sentiasa dikenang serta dihargai oleh rakyat.
“Menjadi harapan negara supaya agensi media terus maju, relevan dan bersama-sama membantu membangunkan negeri dan negara,” titah baginda pada Majlis Anugerah Media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2022 di Galeri Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada majlis berkenaan, baginda dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut berkenan mengurniakan Anugerah Media MAIPs kepada para pengamal media di negeri ini.
Selain itu, baginda menyampaikan anugerah jasamu dikenang kepada bekas Pengerusi Kelab Media Perlis (KEMPs), Shahidi Shahidan.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media di Perlis.
Bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 peringkat negeri ini, MAIPs turut menganjurkan satu forum khas bertajuk amanah menyampaikan berita.
Forum berkenaan menampilkan barisan panel seperti Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Rozaime Ramle; Mubaligh Jabatan Mufti Perlis, Ahmad Al-Qarni Edrus dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Mohd Rizal Azizan sebagai moderator.
Forum tersebut adalah anjuran bersama MAIPs, KUIPs, Jabatan Mufti Perlis dan Persatuan Wartawan Perlis (PWP). – UTUSAN










