Masjid dapat didik masyarakat aspek kebersihan

Masjid dapat didik masyarakat aspek kebersihan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan merasmikan program amal jariah melalui barangan kitar semula di seluruh masjid di Perlis di Dewan Bakawali MES Pegawai Polis Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelaksanaan program amal jariah melalui barangan kitar semula di seluruh masjid negeri ini dapat membantu mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang soal kebersihan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masjid merupakan salah satu daripada pusat pembangunan ummah yang menyatukan masyarakat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada amal jariah dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat. 

Titah baginda, usaha itu boleh dilakukan melalui aktiviti ceramah, seminar dan seumpamanya kepada kariah-kariah masjid. 

“Penganjuran program ini merupakan salah satu kolaborasi strategik dalam memperkasakan aktiviti-aktiviti kesedaran awam sekali gus dapat menerapkan budaya kebersihan dan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di Perlis.

“Saya juga menyeru semua agensi-agensi kerajaan mahupun swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memberikan komitmen yang padu dalam menjadikan Perlis sebuah negeri yang bersih dan sihat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan program tersebut dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) di Dewan Bakawali MES Pegawai Polis Kangar di sini hari ini.

MoU Tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar manakala JAIPs pula diwakili oleh pemangku Pengarahnya, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Baginda bertitah, rakyat negeri ini hendaklah menyemai mentaliti kelas pertama dalam aspek kebersihan dan bersikap responsif terhadap persekitaran serta kesejahteraan hidup agar hidup sentiasa terjaga.

“Kerjasama segenap lapisan masyarakat dengan pihak berwajib adalah penting bagi memastikan tahap kesedaran terhadap kebersihan sentiasa di tahap tertinggi. 

“Inisiatif yang diambil oleh SWCorp dengan kerjasama JAIPs dalam melaksanakan program ini dengan penglibatan institusi masjid adalah merupakan salah satu usaha yang mampu memberi impak yang besar dan positif kepada masyarakat di negeri ini,” titah baginda.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN