Maritim rampas 1.3 tan ketum cuba diseludup keluar - Utusan Malaysia

Maritim rampas 1.3 tan ketum cuba diseludup keluar

BUNGKUSAN plastik hitam berisi daun ketum yang dirampas Maritim Malaysia setelah berjaya menahan sebuah bot dinaiki tiga lelaki di Kuala Kedah, Alor Setar di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 1.3 tan yang bernilai RM234,000 di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah, semalam.

 Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, turut ditahan ialah tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu ketika operasi dijalankan pada pukul 2.30 pagi.

 Jelasnya, siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari kawasan berdekatan menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran.

 “Tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah.

 “Berikutan itu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan dan bot terbabit berjaya dikesan pada pukul 2.20 pagi yang bergerak dalam keadaan bergelap,” katanya di sini hari ini.

 Kata beliau, pemeriksaan mendapati, tiga lelaki warga tempatan itu berumur lingkungan 33 hingga 39 tahun berada di atas bot berkenaan dan kemua mereka ditahan bersama 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum.

 Tambah beliau, daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan tanaman itu dikeluarkan daripada senarai dadah berbahaya di sana selain mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding RM30 sekilogram di sini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN