monopoli AP

Mansuh permit import besi untuk stabilkan harga

Monopoli harga bekalan besi oleh pemegang AP dikatakan punca peningkatan berganda bahan binaan itu yang menyebabkan harga jualan rumah meningkat 10 peratus setahun. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mono­poli bekalan besi dalam kalangan pemegang lesen import (AP) menjadi faktor peningkatan berganda bahan binaan pada waktu ini sekali gus menyebabkan jualan rumah terus meningkat sehingga 10 peratus setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, pihak terlibat didakwa sengaja menaikkan harga besi import dan secara tidak langsung menyebabkan nilainya mencecah RM3,800 setan berbanding sebelum ini sekitar RM2,000 setan.

Malah, beliau berkata, pihak terlibat turut menjadikan alasan perang Ukraine-Russia sebagai punca kenaikan harga sedangkan perkara itu tidak berlaku di peringkat global.

“Justeru, kerajaan wajar memansuhkan AP besi agar lebih banyak pihak terlibat membawa bekalan besi ke negara su­paya dapat meningkatkan penawaran. Situasi ini sama se­perti bekalan makanan, apabila kerajaan menghapuskan AP agar lebih banyak terlibat dalam mengimport.

“Jika masalah bahan binaan termasuk besi terus meningkat, yang terbeban adalah kontraktor dan pemaju perumahan apa­bila terpaksa menanggung kos pembinaan sedangkan kami tidak mahu menaikkan harga projek kerana tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan purata harga bagi sebuah rumah pada masa ini mencecah RM433,430 bagi suku pertama tahun 2022 berbanding RM204,470 pada 2009 seperti laporan terkini pasaran hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Indeks harga terbaharu juga menunjukkan tiada lagi rumah biasa dijual bawah RM200,000 kecuali di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, Mohamed Fadzill menambah, teknologi sistem rumah pasang siap (IBS) tidak berkesan mengurangkan harga rumah kerana bahan-bahan yang digunakan bergantung kepada besi dan simen yang terkesan dengan naik turun harga di samping tambahan kos tenaga kerja asing.

Jelasnya, soal itu secara tidak langsung menjadikan teknologi tersebut tidak berjaya dalam mengurangkan kos pembinaan sekali gus harga kediaman meskipun ianya dikatakan menjimatkan masa.

“Oleh sebab itu, sepatutnya IBS ini kurangkan harga rumah tetapi nampaknya tidak apabila kerana bergantung kepada tiga faktor iaitu besi, simen dan kos tenaga kerja. Apatah lagi kini kos membawa buruh asing kini meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berpandangan, cadangan mewujudkan bank perumahan tidak sesuai buat masa sekarang walaupun ada pihak berpandangan ianya amat baik untuk menyediakan platform pembiayaan pemilikan rumah kepada rakyat.

Sebaliknya kata beliau, rakyat kini mahu pinjaman kediaman yang mempunyai kadar faedah lebih rendah di samping permohonan memudahkan dan tidak memerlukan proses panjang.

“Malah, buat masa sekarang, terdapat banyak bank atau institut kewangan yang menyediakan pinjaman perumahan di negara sebagai pilihan terbuka kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN