BALING: Keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini tidak menjejaskan penguatkuasaan polis dalam mengekang kes-kes yang melibatkan jenayah berat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya menyokong keputusan tersebut kerana ia memberi ruang kepada hakim untuk membuat keputusan yang bijaksana sebelum menjatuhkan hukuman.
“Penguatkuasaan masih diteruskan, malah kita dan polis sendiri pun fikir ada baiknya diberi kelonggaran kepada pelaksanaan hukuman mati mandatori ini.
“Ia disebabkan kalau kita nak ambil sesuatu tindakan itu, kadang-kadang bukti on the thin line,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kenduri Raya Bersatu Baling di Dataran Pejabat Bersatu Baling, Batu 42 di sini, hari ini.
Katanya, hukuman mati tetap ada, namun hakim diberikan ruang untuk menentukan hukuman yang perlu dijatuhkan.
“Contohnya kalau ada satu-satu kesalahan, biarlah hakim yang menentukan sama ada orang itu harus diberikan hukuman gantung atau penjara seumur hidup,” jelasnya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori yang membabitkan 11 kesalahan di negara ini dengan hukuman gantian yang tertakluk budi bicara mahkamah. – UTUSAN










