IPOH: Kerajaan akan memperbanyak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai persediaan negara bagi menghadapi kemarau yang djangka berlaku pada 2025.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek itu adalah alternatif penting sekiranya terdapat risiko kepada sumber air utama.
Katanya, kementerian sentiasa memantau fenomena kemarau besar yang dijangka berlaku pada 2025 dengan meletakkan keutamaan bagi memastikan sumber air negara dapat dipulihara.
“Peningkatan kolam takungan dan margin simpanan air adalah antara usaha kementerian sebagai persediaan awal. Begitu juga dengan projek TAPS yang merupakan satu alternatif penting sekiranya ada risiko pada sumber utama kita ada sumber kedua.’
“Kementerian melalui Jabatan Bekalan Air dan JPS turut menyusun beberapa projek dalaman sebagai persediaan menghadapi kemarau besar berkenaan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah ke-30, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Hotel Casuarina Meru di sini, hari ini.
Mengenai pencerobohan rizab sungai, Tuan Ibrahim berkata, peruntukan perundangan sedia ada sudah memadai untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh.
Katanya, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat binaan kekal seperti kediaman sehingga ke tebing sungai menyukarkan agensi dan jabatan bertindak sekiranya berlaku bencana alam.
“Apabila berlaku runtuh, banjir dan sebagainya kita terpaksa guna rizab sungai sebagai pelindung supaya ia tidak lebih kritikal.
“Tetapi oleh kerana sebahagian rizab sungai berlaku pencerobohan, keadaan menjadi sukar kerana kadang-kadang mereka buat rumah sampai ke tebing. Ini isu serius kerana kalau nak pindah ia ada kos dan penduduk pula sudah keluar belanja, jadi sebab itu kalau boleh kita hendak pastikan rizab sungai dapat dijaga lebih awal,” katanya. – UTUSAN