MELAKA: Malaysia akan mengetuai beberapa negara termasuk Brazil dan India dalam menjalankan kajian mengenal pasti ubat-ubatan yang berupaya merawat penyakit denggi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, baru-baru ini satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai usaha itu telah diadakan di bawah Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM).
Beliau berkata, kajian itu nanti akan dilaksanakan di Malaysia dan mengambil tempoh antara enam bulan sehingga setahun.
“Kita bersama Drug For Neglected Diseases Initiative (DNDI) sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain seperti Brazil dan India untuk lihat beberapa ubat-ubatan sama ada boleh digunakan untuk merawat denggi.
“Malaysia akan mengetuai (kajian) bersama Brazil, India dan beberapa negara membangun lain dan kita bagi tempoh antara enam hingga setahun untuk jalankan ujian ini,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ Peringkat Kebangsaan di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini.
Hadir merasmikan program itu adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Khairy berkata, sekiranya ujian klinikal itu berjaya, ubat tersebut akan didaftarkan untuk kegunaan hospital dan klinik bagi rawatan penyakit denggi.
“Sekarang ini ubat-ubatan ini digunakan untuk penyakit lain, kalau ia berkesan kita akan daftarkannya sebagai ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk denggi. Ubat ini akan digunakan untuk rawatan pesakit di hospital dan klinik,” katanya. – UTUSAN










