PUTRAJAYA: Malaysia berpendirian tegas bahawa kerajaan India perlu lebih serius dalam menangani isu Islamofobia yang sering dilaporkan berlaku di negara itu kebelakangan ini.
Perkara tersebut disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang meluahkan kekesalan kerana banyak insiden penghinaan ke atas agama Islam sering dibiarkan di India.
“Ini bukan isu baharu pun, cuma kali ini tular sebab melibatkan dua individu kanan dengan parti pemerintah yang boleh dianggap seolah-olah pendirian rasmi kerajaan India,” katanya yang merujuk tindakan Wisma Putra memanggil Pesuruhjaya Tinggi India, B.N. Reddy kelmarin bagi menyerahkan nota diplomatik kekesalan Malaysia mengenai isu panas tersebut.
Terdahulu, beliau menghadiri program sambutan jubli emas ulang tahun ke-50 Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Malaysia di Hotel Zenith Putrajaya, di sini hari ini.
Banyak negara Islam memprotes kenyataan kurang ajar secara terbuka oleh dua tokoh kanan parti pemerintah India itu biadab memperlekehkan imej Nabi Muhammad SAW.
Saifuddin berkata, kerisauan Malaysia bukan sekadar berharap masalah itu berakhir sebegitu sahaja namun dibimbangi perkara sama berulang lagi pada masa depan.
“Justeru, kita menawarkan kepada India agar mencontohi Kerangka Dasar Luar Malaysia yang mengamalkan konsep harmoni dapat hidup bersama dalam budaya damai.
Beliau merujuk pengalaman dirinya ketika melakukan lawatan rasmi ke tiga negara rantau Nordik minggu lalu apabila dapat berkongsi pengalaman Malaysia yang hidup majmuk.
Kejayaan negara ini mendapat pujian dalam kalangan tokoh politik dan akademik di negara Skandinavia itu yang kini lebih pendekatan toleransi terhadap masyarakat asing dari luar. – UTUSAN










