MAIPs salur RM200,000 bantu 141 mangsa ribut  - Utusan Malaysia

MAIPs salur RM200,000 bantu 141 mangsa ribut 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis penyampaian sumbangan bantuan ribut kepada 60 mangsa di Masjid Al-A'la Behor Temak, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui bantuan bencana memperuntukkan RM200,000 bagi tujuan baik pulih rumah 141 mangsa yang terkesan dengan ribut di Perlis baru-baru ini.

Bantuan berkenaan disalurkan secara berfasa di mana setiap mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut tiga hari berturut-turut itu menerima antara RM400 hingga RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, jumlah bantuan tersebut berdasarkan nilai kerosakan yang ditanggung setiap mangsa.

Katanya, kerosakan tersebut melibatkan bumbung yang diterbangkan angin kencang atau kerosakan struktur rumah.

“Dalam penyaluran bantuan berkenaan, MAIPs bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelaras semua bantuan yang diperlukan mangsa ribut.

“JKM turut menyalurkan bantuan tambahan selain yang telah disalurkan MAIPs sekiranya jumlah kerosakan melebihi had ditetapkan MAIPs bagi setiap penerima,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan bantuan ribut kepada 60 mangsa di Masjid Al-A’la Behor Temak di sini hari ini.

Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN