MADA perkukuh ekonomi PPK

MADA perkukuh ekonomi PPK

AHMAD Zamri Daud (kiri) dan Roslan Jaafar membantu memasukkan benih padi keluaran MADACorp ke dalam mesin menabur padi milik Aziz Abdul Rahman di Kampung Padang Luar, Mukim Tajar, Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sejak penubuhannya pada 1968, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah banyak berkembang seiring kemajuan semasa.

Semuanya demi satu matlamat iaitu memperkukuh taraf ekonomi dan sosial masyarakat peladang ke arah lebih progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.

Justeru, buat julung kali sejak penubuhannya, satu majlis dinamakan sebagai Malam Anugerah Segantang Budi dan Malam Anugerah Cemerlang Kakitangan PPK bakal diadakan pada 25 Jun ini di Hotel Raia, di sini.

Menurut Wakil Pendaftar PPK MADA, Kamarudin Dahuli, majlis tersebut merupakan satu penghargaan terhadap usaha pegawai serta kakitangan PPK yang cukup signifikan terhadap perkembangan dalam pentadbiran pertubuhan itu.

KAMARUDDIN DAHULI

“Perkembangan PPK dalam kawasan MADA ini boleh kita sifatkan sebagai sesuatu yang cukup memberangsangkan. Segalanya tampak positif termasuk dari sudut penerimaan kalangan peladang itu sendiri.

“Berbanding cuma 215 orang keahlian pada awal penubuhan, kini jumlah ahli di semua 27 PPK dalam MADA mencecah 52,671 orang. Modal saham terkumpul juga berjumlah RM21.85 juta berbanding cuma RM500 awal-awal dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam sudut lain kata Kamarudin, struktur PPK pada ketika ini juga sudah bertambah baik sekali gus membolehkan pertubuhan tersebut PPK lebih banyak terlibat dengan tanaman selain padi.

“Ketika ini purata pendapatan PPK dalam kawasan MADA adalah sebanyak RM2.92 juta. Purata keuntungan bersih PPK dalam Kawasan MADA pula adalah RM480,000 yang mana angka itu lebih tinggi daripada purata keuntungan bersih PPK nasional berjumlah RM180,000.

“Bersandarkan nilai purata keuntungan bersih itu, kita boleh rumuskan bahawa pencapaian PPK MADA ini berada pada tahap yang baik. Jadi majlis penghargaan yang bakal kita adakan adalah tepat untuk menghargai usaha dibuat oleh pegawai dan petugas PPK,” katanya.

Secara keseluruhannya terdapat 279 PPK di seluruh negara dengan 27 daripadanya berada dalam kawasan MADA iaitu 22 PPK di negeri ini, manakala lima lagi di Perlis.

Kamarudin yang juga Pengurus Besar MADA berkata, bersandarkan perkembangan tersebut serta data sedia ada, adalah tidak mustahil untuk PPK dalam kawasan itu mencapai matlamat disasarkan iaitu bagi menjadikannya supaya lebih berdikari.

“Kita dapati terdapat potensi besar untuk PPK ini menjadi lebih berdikari pada masa akan datang. Menerusi langkah tersebut, PPK sedia ada ini nanti akan diuruskan oleh ahli-ahlinya sendiri. Insya-Allah pertubuhan ini nanti mampu memberi sumbangan lebih besar kepada ahli-ahlinya termasuk menerusi pulangan dividen lebih baik,” katanya.

Sementara itu katanya, peranan PPK MADA dalam berdepan isu keselamatan makanan turut tidak boleh diketepikan apatah lagi kebanyakan aktiviti PPK tersebut sememangnya berkaitan dengan tanaman padi yang menjadi makanan ruji rakyat di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya