DUNGUN: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menyediakan perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial khusus buat lelaki di 49 buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, KNS di daerah ini akan menjadi klinik perintis pertama di peringkat negeri bagi memberikan kemudahan kepada golongan lelaki mendapatkan kaunseling secara individu dan kelompak.
Menurutnya, perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial untuk lelaki itu akan dibuka di KNS di seluruh negara secara berperingkat wanita.
Katanya, KNS sebelum ini hanya memberi kemudahan saringan perubatan dan kaunseling yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita sahaja.
“Kemudahan perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial untuk lelaki itu dibuka di KNS selepas mendapati jumlah golongan lelaki yang ramai mengikuti sesi kaunseling menerusi secara atas talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Sejumlah 22,156 orang lelaki mendapatkan kaunseling yang dikendalikan oleh LKPPKN mulai tahun 2019 hingga Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2022 di KNS Dungun, di sini hari ini.
Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Kasih Bapa Pelindung Keluarga’.
Rina memberitahu, daripada jumlah lelaki yang mendapatkan kaunseling itu, sebanyak 33 peratus mempunyai masalah rumah tangga, 17 peratus campur tangan keluarga manakala selebihnya membabitkan masalah kewangan.
“Jumlah golongan lelaki mendapatkan sesi kaunseling itu tinggi juga disebabkan mereka menghadapi keluarga kerana PKP,” ujarnya.
Selain itu, menurutnya, LPPKN juga menyediakan saringan kesihatan secara percuma kepada 300 kaum lelaki di KNS daerah ini. – UTUSAN










