Lima sekeluarga termasuk bayi maut kereta bertembung lori

Lima sekeluarga termasuk bayi maut kereta bertembung lori

KEADAAN kereta Toyota Corolla yang remuk akibat bertembung dengan treler dalam kemalangan meragut nyawa lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Kampung Pulau Manis, Kuantan, Pahang. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lima sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri selepas kereta dinaiki mereka  bertembung dengan sebuah treler berhampiran stesen minyak Five, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Kampung Pulau Manis di sini, hari ini.

Kesemua mangsa termasuk tiga kanak-kanak berusia tujuh tahun, enam tahun dan seorang bayi yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dirempuh treler jenis Nissan.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pasangan suami isteri, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, dan Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak mereka, Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, serta bayi yang belum diperoleh maklumatnya. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pasukan menyelamat menerima laporan kejadian pukul 3.40 petang.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Muadzam Shah memasuki laluan treler yang berada di laluan bertentangan.

“Bagaimanapun pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri jalan, namun kerana jarak terlalu dekat telah melanggar di bahagian hadapan kereta terbabit.

“Berdasarkan dokumen pengenalan diri ditemukan, semua mangsa berasal dari Simpang Empat, Semanggol, Perak. Pemandu dan kelindan treler yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan semua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ekoran kecuaian pemandu kereta yang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Keadaan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian hadapan yang mana kereta terbabit remuk di keseluruhan bahagian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya