KUALA SELANGOR: Tindakan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri daripada polis mengundang padah apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam parit dekat kunci air berdekatan Jalan Keretapi Lama di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 5 pagi itu mengakibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan mengalami kecederaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.19 pagi.
“Pemeriksaan mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit itu selepas dikejar polis. Kesemua mangsa menunggu di atas bumbung kereta tersebut dan naik ke tebing selepas ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, dua wanita warga asing itu mengalami patah kaki manakala tiga lelaki cedera pada bahu.
“Kesemua mangsa diselamatkan bomba dengan spineboard (papan tulang) dan diberikan rawatan awal. Mereka yang tiada dokumen pengenalan diri itu kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN










