KUANTAN: Seorang lelaki hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun daripada jambatan dekat Tanah Putih, di sini, tengah malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 12 tengah malam memaklumkan mangsa berusia dalam lingkungan 37 tahun itu dipercayai cuba membunuh diri.
“Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa menggunakan sebuah bot aluminium.
“Kini usaha mencari mangsa di sekitar bawah jambatan dan sepanjang sungai Kuantan giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN










