MELAKA: Seorang lelaki terperangkap di sebuah bank di Cheng di sini, selepas pintu bangunan itu tiba-tiba terkunci secara automatik, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah malam ketika mangsa yang berusia 51 tahun dipercayai sedang berurusan di mesin juruwang automatik (ATM) bank terbabit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd. Norshah Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 12.45 tengah malam dan sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi untuk operasi mengeluarkan mangsa.
“Setiba di lokasi kita dapati, terdapat seorang lelaki berdiri berhampiran pengatup pintu dan terperangkap di dalam bangunan itu di bahagian mesin ATM. Kita meminta mangsa memecahkan kotak kaca butang kecemasan pintu di bahagian dalam bangunan untuk membuka pengatup pintu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa berjaya keluar dengan selamat dan dimaklumkan telah terperangkap kira-kira 15 minit sebelum kejadian dilaporkan kepada bomba dan operasi menyelamat tamat pukul 1.06 pagi. – UTUSAN










