BATU PAHAT: Kawalan mengenai aktiviti politik wang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah langkah lebih baik berbanding pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan pada 18 Julai ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sekiranya tidak berlaku aktiviti politik wang atau penawaran tertentu maka perbuatan ahli politik melompat parti tidak akan berlaku.
“Kuncinya adalah politik wang, bukan soal menyekat hak wakil rakyat yang tidak akan lompat kalau tidak ada insentif jawatan, pemberian duit, pangkat dalam parti kerana ada sesetengah orang mereka tidak peduli dengan perkara itu.
“Jadi, pada pandangan saya SPR seharusnya mengawal (aktiviti politik wang) daripada terus berlaku,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor di Dewan Jubli Intan, hari ini.
Kata bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu, terdapat sesetengah pemimpin akan bertindak sedemikian apabila mempunyai insentif berkenaan dan tawaran yang lebih daripada parti lain.
“Selain itu, ia terkunci dengan hak rakyat untuk menukar pendirian dan tindakan berkenaan tidak bererti dia (pemimpin) sudah lupa dengan apa yang sudah dijanjikan kepada pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya sesuai diadakan ketika semua parti politik yang ada benar-benar sedia bertanding dan rakyat tidak terbeban untuk mengundi bagi menentukan kerajaan.
Beliau berkata, PRU15 sepatutnya tidak diadakan dalam keadaan tergesa-gesa mengikut kehendak parti atau individu tertentu.
“Pada asasnya terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada Seri Paduka setuju atau tidak sekiranya Perdana Menteri memohon untuk membubarkan Parlimen. Keduanya adalah pengundi muda yang dijanjikan untuk diberi hak mengundi sama ada mereka ini sudah didaftarkan dengan sempurna supaya boleh ambil bahagian atau sebaliknya,” katanya.
Tambahnya, jika tidak bersedia sepenuhnya tiada guna mengadakan PRU15 segera kerana rakyat menghadapi masalah besar selain faktor ekonomi meruncing dan kemungkinan kemelesetan ekonomi seluruh dunia akibat peperangan, pergolakan politik dan pemerdagangan antara negara-negara yang tidak stabil. – UTUSAN