Lapan beranak ikat perut, gerai dipukul ribut

Lapan beranak ikat perut, gerai dipukul ribut

ANGGOTA PSBM memasang khemah baru sambil dibantu Nizam Tamby (dua dari kiri) di tapak gerainya di Taman Limbongan Permai, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ketua keluarga yang menderita slip disc buntu mengenangkan nasib keluarganya selepas gerai makan diusahakannya musnah dipukul ribut di Taman Limbongan Permai di sini, dalam kejadian Rabu lalu.

Nizam Tamby, 49, berkata, dia yang tidak mampu berdiri lama kerana masalah tulang belakang seperti putus harapan selepas gerai makan yang dibina di sebelah rumahnya musnah.

Katanya, bencana yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan khemah utama gerai dan peralatan memasak rosak serta tidak boleh dibaiki.

“Sebelum ini kehidupan kami sederhana dan normal, namun sejak saya kemalangan pada 2019, semuanya berubah apabila saya mengalami slip disc.

“Saya tidak dapat lagi bekerja sebagai pembantu am dan mula menjalankan perniagaan ini bersama-sama isteri serta anak-anak. Namun kelmarin gerai makan kami pula musnah dipukul ribut,” katanya semalam.

Lelaki itu ditemui selepas ziarah kasih Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang turut menyalurkan bantuan awal termasuk dua buah khemah baharu dan bekalan makanan asas.

Nizam berkata, dia kini masih perlu menyara enam anaknya berusia antara 20 hingga enam tahun, termasuk lima yang masih bersekolah dan isteri yang menetap di rumah tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kesihatannya, katanya, selain sakit tulang belakang, dia menghidap masalah usus dan perlu menjalani rawatan fisioterapi di hospital kerajaan.

“Kadangkala macam nak kena sawan pun ada, dalam keadaan macam ini saya sedih mengenangkan nasib keluarga, terpaksa ikat perut, termasuklah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

“Bagaimanapun, saya masih bersyukur anak-anak saya ada menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk pakaian sekolah mereka dan bantuan hari raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya