Langgar protokol halal penyembelihan: Status TFI masih tergantung 

Langgar protokol halal penyembelihan: Status TFI masih tergantung 

SIRAJUDDIN SUHAIMEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan semakan audit (audit review) sama ada mahu meneruskan atau menggantung kelulusan operasi pusat penyembelihan yang melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan haiwan di Australia. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah terdahulu yang dilakukan kerajaan adalah menggantung serta-merta kelulusan diberikan kepada loji penyembelihan, Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia dan tindakan susulan pula diambil selepas penggantungan berkenaan. 

“Benda (isu) berkaitan rumah sembelihan (di Australia) kita akan buat secara teratur dan terancang…insya-Allah. 

“Memang kita sudah buat pengumuman untuk penggantungan. Susulannya kita akan buat audit review terhadap rumah sembelihan berkenaan sama ada akan diteruskan atau ditarik terus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Reruai dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan Jakim di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini hari ini. 

Yang hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Jakim terhadap badan pensijilan halal, Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selepas mengesahkan TFI melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan. 

Bagaimanapun, Sirajuddin tidak menjawab secara terus kepada soalan diajukan mengenai SICHMA, sebaliknya hanya menyentuh tindakan terhadap TFI yang terpalit dengan pelanggaran protokol halal ketika daging-daging dari negara berkenaan turut dihantar ke Malaysia. 

Tindakan terhadap SICHMA pula timbul ketika Malaysia masih mengiktirafnya sebagai badan pensijilan halal namun hakikatnya, SICHMA didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan proses halal benar-benar dipatuhi rumah penyembelihan. 

Pada 28 Mei lalu, SICHMA mengesahkan TFI melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya selepas menjalankan audit mengejut ke atasnya pada 23 Mei lalu. TFI turut membekalkan daging-daging kambing ke negara ini. 

Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam. 

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih. 

Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video. 

Susulan itu, pada 14 Mei lalu, kerajaan Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import dari TFI sehingga siasatan menyeluruh dijalankan. 

Selepas pendedahan itu, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland, Australia turut didakwa melanggar protokol halal sembelihan didedahkan seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN