KUALA NERUS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil inisatif membantu meningkatkan bekalan ayam di pasaran bagi menjamin sekuriti makanan terjamin di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, agensi di bawah kementerian itu akan membuka lebih banyak ladang ternakan ayam di seluruh negara bagi memenuhi hasrat tersebut.
Menurutnya, antara agensi yang terlibat dalam ternakan ayam tersebut adalah Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Katanya, projek penternakan ayam tersebut akan dimulakan pada Julai depan.
“Hasil ternakan ayam oleh agensi tersebut diharapkan dapat menampung permintaan ayam setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.
Data yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Malaysia, purata keperluan ayam di negara ini adalah 2.09 juta ekor ayam sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.
Mahdzir memberitahu, pada peringkat awal ini, agensi berkenaan akan memberi tumpuan kepada penternakan ayam sahaja.
Tambahnya, penternakan lain seperti lembu dan pertanian pula akan dilakukan secara berperingkat.
“Pada Julai ini saya akan melihat proses persiapan tempat (ternakan ayam) di Rompin,” ujarnya. – UTUSAN









