SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil inisiatif membantu memperkembangkan dan mengukuhkan bekalan makanan utama negara dalam industri penternakan dan perladangan.
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB menerusi agensi di bawahnya iaitu Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sejumlah RM80 juta untuk menjamin bekalan makanan dan sekuriti makanan negara terus kekal terjamin.
Menurutnya, FELCRA Berhad akan melaksanakan projek ternakan ayam berjumlah RM60 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjalankan aktiviti ternakan ayam pedaging secara sistem tertutup.
Sementara itu, katanya, RISDA pula menerima peruntukan berjumlah RM20 juta bagi Program Agromakanan melibatkan seramai 1,000 orang peserta di seluruh negara.
“Usaha yang dilaksanakan KPLB menerusi agensinya bertujuan menyokong dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan Warung Desa@KPLB Daerah Kuala Muda di KEDA Tepi Sungai, Kuala Muda, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Shahanim Mohamad Yusoff; Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar Pengurusan KEDA, Afifah Omar.
Pada majlis itu, Abdul Rahman menyerahkan Warung Desa@KPLB dan peralatan kepada seramai 21 orang usahawan di daerah Kuala Muda daripada kluster makanan dan minuman melibatkan peruntukan sebanyak RM196,417.
Abdul Rahman memberitahu, Felcra Berhad dijangka mampu menghasilkan sebanyak 600,000 ekor ayam daging bagi satu pusingan atau setiap 35 hari sekali gus menjadikan FELCRA Berhad sebagai salah satu pemain utama industri penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup dengan skala besar di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.
”Projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini dengan pengeluaran ayam berkualiti dan halal selain menyediakan dan membuka peluang pekerjaan selain merancakkan industri dan perniagaan berasaskan ayam pedaging.
“Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Malaysia, purata keperluan ayam di negara ini adalah 2.09 juta ekor ayam sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, RISDA menerusi syarikat milikannya RISDA Livestock Sdn. Bhd. (RLSB) pula melaksanakan integrasi fidlot ternakan lembu bagi meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal.
Jelasnya, selaras untuk menyokong dasar keselamatan makanan negara, RLSB menyasarkan sebanyak 6,000 ekor lembu dapat diproses bagi menampung keperluan makanan negara pada tahun ini dan dipertingkat kepada 10,000 ekor setahun sekali gus mengurangkan kebergantungan sumber bekalan daging import,” katanya.
“Menerusi Program Agromakanan 2022 hingga 2030, RLSB menyasarkan peningkatan pengeluaran daripada kadar tujuh peratus kepada 30 peratus kadar pengeluaran daging negara.
”Selain itu, RLSB juga bersedia untuk mengimport daging dari luar negara bagi memenuhi keperluan makanan untuk rakyat Malaysia selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan untuk negara,” tambahnya. – UTUSAN










