Kos sara hidup melonjak, rakyat catu belanja - Utusan Malaysia

Kos sara hidup melonjak, rakyat catu belanja

Kos sara hidup dijangka melonjak bulan depan susulan pemansuhan harga siling ayam, telur dan masalah ekonomi global tidak menentu. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan ekonomi tidak menentu dan diburukkan dengan kenaikan kadar inflasi selain pemansuhan harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak botol memaksa rakyat mencatu perbelanjaan harian.

Kenaikan harga barang akan terus dirasai bulan depan membabitkan hampir semua jenis termasuk harga makanan di restoran dan gerai-gerai yang dijangka sehingga 20 peratus.

Peningkatan tersebut akan melonjak sekiranya kerajaan terus mengambil langkah drastik untuk menarik beberapa lagi subsidi barang lain termasuk bahan api sebagai mekanisme penyusunan semula pelaksa­naan subsidi bersasar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kesan ekonomi global, penarikan dan penyusunan semua subsidi tersebut sekali gus bakal menyaksikan peralihan kumpulan M40 kepada B40 yang dijangka meningkat sebanyak 15.6 peratus atau membabitkan 433,680 isi rumah selepas ini.

Menurut beliau, Jabatan Pe­rangkaan pada tahun lalu mencatatkan sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40 kesan daripada beberapa faktor termasuk akibat pandemik Covid-19.

Isi rumah

Kata beliau, susulan langkah terbaharu kerajaan itu juga akan menyebabkan kumpulan B40 dan M40 terus ‘tertekan’ apabila perbelanjaan isi rumah kumpulan tersebut akan meningkat tetapi jumlah pendapatan mereka sama.

“Akan lebih ramai golongan M40 beralih kepada B40 kerana purata gaji dan upah bulanan pada 2020 kini menyusut sembilan peratus iaitu penurunan kali pertama sejak direkodkan mulai 2010.

“Kalau secara median, ia jatuh 15.6 peratus. Oleh itu situasi golongan M40 kini seolah-olah memperoleh gaji seperti B40 dan ia adalah realiti pada waktu sekarang,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan bantuan tunai langsung kepada golongan miskin selepas menghapuskan subsidi untuk beberapa barangan keperluan termasuk ayam, telur dan minyak masak botol.

Penghapusan subsidi itu akan menyebabkan harga barangan meningkat bermula 1 Julai dan memberi kesan langsung kepada pengguna dengan indeks inflasi dijangka melonjak
ke paras tertinggi dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, inflasi dijangka terus meningkat pada Julai ini apabila harga siling ayam dan telur dimansuhkan manakala tiada lagi subsidi minyak masak botol kerana kategori makanan dan minuman merangkumi 29.5 peratus pemberat untuk Indeks Harga Pengguna (IHP).

Meningkat

Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah itu tidak meningkat dengan ketara kerana secara puratanya kadar inflasi di negara ini sentiasa rendah dan kurang daripada empat peratus dan kemungkinan kadar inflasi bulan depan adalah sekitar tiga peratus.

“Pengumuman semalam bukan langkah terbaik tetapi kerajaan tiada pilihan kerana kekangan perbelanjaan dan untuk memastikan kelangsungan peniaga juga. Oleh itu, subsidi bersasar adalah perlu untuk memastikan tiada golongan yang terkesan dengan teruk akibat penghapusan subsidi,” katanya.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, perbelanjaan isi rumah dijangka meningkat sekitar 20 peratus bulan depan ekoran penghapusan subsidi membabitkan barangan keperluan asas rakyat seperti minyak masak, ayam dan telur.
Beliau juga menjangkakan peningkatan sama membabitkan harga makanan di restoran termasuk gerai-gerai kecil bermula selepas ini.

“Kumpulan bujang menjadi golongan yang paling terkesan kerana mereka banyak makan di luar berbanding mereka yang sudah berkeluarga. Jadi perbelanjaan orang bujang mungkin bertambah selepas ini apabila gaji atau pendapatan dalam jumlah sama,” katanya.

Justeru, Barjoyai berkata, langkah terbaik yang perlu dilakukan rakyat adalah mengawal perbelanjaan termasuk mengurangkan makan di luar.

BKM

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kini tanggungjawab terletak sepenuhnya kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menggunakan manfaat tersebut hanya untuk tujuan yang sepatutnya.

Menurut beliau, tidak dinafikan pengumuman penyaluran subsidi bersasar bagus untuk mengurangkan beban yang bakal ditanggung oleh rakyat susulan kenaikan harga barangan bulan depan.

“Jadi apakah kita bersedia untuk menggunakan bantuan untuk tujuan sepatutnya berbanding membelanjakan untuk tujuan tidak sepatutnya,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kenaikan makanan tidak boleh dielakkan selepas ini kerana pemotongan subsidi membabitkan bahan asas dan situasi itu berlaku pada setiap masa.

Justeru, menurut beliau, pengguna dalam tempoh sukar itu perlu menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk berbelanja dengan memilih restoran yang menawarkan harga berpatutan.

“Kita akui ada ahli kita menetapkan harga tinggi, tetapi ada juga yang murah. Misalnya restoran A jual nasi goreng RM13, restoran B pula RM9.50, jadi terserah kepada pengguna untuk memilih harga terbaik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN