Koop Sahabat ikrar bebas rasuah

Koop Sahabat ikrar bebas rasuah

RIDZUAN Abd. Malik (kiri) menyampaikan poster Kempen Lapor Rasuah kepada Mazri Mahmood semasa Hari Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) melafazkan ikrar bebas rasuah hari ini bagi menyatakan komitmen untuk bebas dari sebarang bentuk gejala rasuah.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood yang disaksikan Timbalan Pengarah Pencegahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor, Ridzuan Abd. Malik.

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, lafaz ikrar ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji untuk menjauhi dan membebaskan diri dalam sebarang perbuatan yang menjurus terhadap rasuah diketuai oleh barisan kepimpinan tertinggi dan warga kerja Koop Sahabat.

Katanya, usaha ini merupakan inisiatif Koop Sahabat bagi menyahut saranan Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menyeru setiap koperasi di Malaysia mengangkat ikrar integriti bagi mengukuhkan integriti anggota lembaga, pengurusan dan warga kerja sebagai pencetus amalan tadbir urus koperasi yang mantap.

“Usaha ini merupakan inisiatif Koop Sahabat bagi memantapkan sistem perundangan dan struktur governan bagi memperkasakan koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.

“Koop Sahabat komited untuk mengekalkan prestasinya sebagai koperasi terbaik Malaysia, setelah diiktiraf sebagai koperasi kelima terbaik Malaysia oleh SKM pada 2021.

“Koop Sahabat ingin melahirkan persekitaran perniagaan yang bersih daripada unsur-unsur rasuah dan masalah integriti bagi pencapaian yang cemerlang dan kompetitif serta melahirkan warga kerja yang berkualiti tinggi dan produktif,” katanya dalam kenyataan.

Lafaz ikrar ini juga disertai oleh warga kerja Koop Sahabat di 25 buah cawangan Sahabat Ar Rahnu seluruh Malaysia serta kumpulan anak syarikatnya.

Selain itu, warga kerja Koop Sahabat turut diberi pendedahan berkaitan jenayah rasuah menerusi syarahan integriti bertajuk ‘Bina Integriti, Jauhi Rasuah’ yang disampaikan oleh pihak SPRM.

Pada masa sama, Koop Sahabat yang bakal menjangkau usia 10 tahun penubuhan pada bulan Ogos nanti menyifatkan lafaz ikrar ini merupakan simbolik kepada kesediaan pasukan Koop Sahabat dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota dan ahlinya di seluruh negara.

Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 240,000 anggota seluruh Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita B40.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, bidang hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan dalam ekuiti awam.

Koop Sahabat juga tersenarai sebagai 10 koperasi terbaik di Malaysia sebanyak tiga tahun berturut-turut oleh SKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya