Kontroversi MySejahtera: Bayaran masih belum jelas - Utusan Malaysia

Kontroversi MySejahtera: Bayaran masih belum jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan masih belum melakukan sebarang pembayaran mengenai pemindahan harta intelek dan perisian aplikasi kontroversi MySejahtera yang dilaporkan berharga RM338.6 juta sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya baru sahaja mendapat keputusan terkini daripada Pejabat Peguam Negara yang membenarkan supaya harga tersebut boleh dirunding pada paras lebih rendah.

Justeru, ketidakjelasan pembayaran dalam jumlah sebenar sekali gus mengulangi kenyataan sama beliau semasa perbahasan usul aplikasi tersebut di Dewan Negara, Mac lalu, yang harga tetap MySejahtera masih dalam proses rundingan dengan Perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan.

“Kerajaan belum lagi mengeluarkan apa-apa pembayaran, kita baru dapat kebenaran dari Jabatan Peguam Negara untuk buat rundingan harga.

“Hasil rundingan ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan seterusnya ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital kementerian itu, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Khairy tidak memperincikan anggaran masa rundingan tersebut akan dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan dan di peringkat Kabinet.

Pengendalian aplikasi MySejahtera sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ia dilaporkan dijual kepada syarikat swasta, bagaimanapun, Khairy menegaskan kerajaan tidak pernah berbuat demikian dan ia masih menjadi hak milik kerajaan manakala kementeriannya dilantik sebagai pemilik utama aplikasi itu.

Terdahulu, dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Entomo, sebelum ini dinamakan sebagai syarikat KPISoft Sdn. Bhd. bersetuju memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn. Bhd. menerusi perjanjian dilaporkan berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025.

Rentetan pendedahan itu telah mencetus kebimbangan awam mengenai penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta yang menurut sesetengah pihak akan membawa kepada pencabulan maklumat peribadi dan ancaman keselamatan negara.

Bagaimanapun, Khairy sebelum ini menjelaskan keputusan kerajaan melantik sebuah syarikat untuk menguruskan aplikasi MySejahtera tidak bermaksud aplikasi itu dijual, data dikumpul adalah selamat selain jumlahnya jauh lebih rendah berbanding RM338.6 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN