PETALING JAYA: Kekeliruan dalam proses pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan 2,000 ahli parti itu membuat bantahan mendorong PKR sekali lagi menangguhkan kongresnya yang dijadual hujung bulan ini kepada 15 hingga 17 Julai depan.
Perkara itu diputuskan dalam Majlis Pimpinan Parti (MPP) PKR yang mesyuarat sehingga pukul 1 pagi semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, parti itu mengambil kira aduan dan bantahan dikemukakan calon bertanding dalam Pemilihan PKR 2022 dan menangguhkan Kongres PKR untuk tempoh sebulan lagi.
Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diberi tempoh sebulan untuk mengadakan audit forensik terhadap aduan dibangkitkan sebelum keputusan rasmi pemilihan diumumkan kepada umum.
“Banyak isu timbul dibangkitkan terhadap keraguan khususnya jumlah undi. Maka MPP mengambil kira aduan dan bantahan dikemukakan calon-calon bertanding dalam Pemilihan PKR 2022.
Tarikh Kongres PKR yang terbaharu ialah dari 15 hingga 17 Julai ini iaitu selepas Hari Raya Aidiladha.
“PKR parti reformasi dan kita perlulah tegas dalam soal pemilihan agar dijalankan dengan adil dan berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan calon Naib Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Murbarak meminta pucuk pimpinan parti untuk menangguhkan kongres parti itu selagi audit forensik tidak selesai.
Beliau menegaskan, JPP perlu menyegerakan semakan undian atau menjalankan audit forensik susulan wujud dakwaan jumlah undian yang tidak munasabah.
Sebelum ini, kongres PKR ditetapkan pada 10 dan Jun ini namun dijadual semula pada 25 dan 26 Jun ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. – UTUSAN