komplot naik harga

Komplot naikkan 40 peratus harga dedak

Sekumpulan syarikat gergasi industri ayam yang turut terlibat membekalkan dedak, didakwa berpakat untuk menaikkan harga dedak ayam secara drastik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kartel ayam kembal hangat apabila sekumpulan syarikat gergasi industri ayam yang turut terlibat dalam membekalkan dedak, didakwa berpakat sesama sendiri untuk menaikkan harga dedak ayam secara drastik.

Sumber dalaman industri mendedahkan, pihaknya difahamkan terdapat empat syarikat gergasi industri ayam setakat ini didakwa berpakat menaikkan harga dedak yang dijual kepada penternak kontrak kepada RM180 bagi satu beg seberat 50 kilogram (kg) dan komplot ini disasarkan bermula seawal September ini.

Kata sumber, setakat kelmarin (31 Mei) harga dedak satu beg 50kg yang dibayar pihaknya kepada kartel adalah berjumlah RM124 sehingga RM130.

Ini bermaksud, jika konspirasi kartel ini berjaya, maka kata sumber, penternak kontrak akan mengalami kenaikan harga dedak sebanyak 40 peratus.

“Kartel usah temberang memberi alasan, mereka menaikkan harga dedak sebab harga jagung bijian di pasaran terjejas akibat konflik Russia-Ukraine.

“Sejak bila Malaysia import jagung dari Ukraine? Sedangkan pengeksport utama jagung bijian ke Malaysia ialah Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). Jika ada peningkatan sekalipun, tak akan begitu drastik sehingga mahu naikkan harga dedak 50 kilogram sebanyak 40 peratus?” katanya di sini semalam.

Menjelaskan lanjut, sumber berkata, penternak bakal menjadi mangsa perancangan licik ini kerana mereka yang akan menanggung kos kenaikan itu dan bukannya kartel.

“Untuk makluman, yang serap kos kenaikan jagung bijian ini bukan kartel, sebaliknya penternak. Cuba semak penyata intergrator, bukankah penternak yang disuruh bayar kos dedak, kos anak ayam dan vitamin semuanya?” soal sumber.

Sumber mendakwa, agenda konspirasi ini untuk membanteras kumpulan penternak kecil-kecilan bagi membolehkan syarikat-syarikat gergasi menguasai seluruh rantaian industri.

“Kartel ada modal, jadi bila kumpulan penternak kontrak yang kecil-kecil ini dihapuskan, maka mereka boleh gunakan modal sendiri untuk membangunkan broiler sendiri. Dengan itu, berkuasalah mereka ke atas seluruh rantaian industri,” kata sumber.

Dalam perkembangan berasingan, sumber berkata, berhubung isu penternak merungut harga siling ayam di pasaran terlalu rendah iaitu RM8.90, rungutan itu sebenarnya bukan datang dari penternak sebaliknya itu desakan pihak kartel.

“Sejak bila penternak ada masa ambil pusing soal harga siling ayam di pasaran? Penternak kontrak cuma bela ayam 30 ke 35 hari, itu saja. Selepas itu, kartel akan datang ambil semula ayam.

“Kartellah yang akan bawa ayam tersebut ke rumah sembelihan, dari situ kartel yang akan memasarkan ayam ke pasaran runcit secara terbuka. Jadi, siapa yang bersungut sebenarnya? Penternak kontrak? Itu bukan urusan mereka,” kata sumber.

Justeru, sumber mendesak kerajaan segera menubuhkan lembaga khas bagi mengawal selia industri ayam dan unggas, demi memastikan isu berkaitan industri ini tidak lagi berterusan tenggelam timbul. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN