Kipas jadi makmum: Tindakan kurang pengetahuan agama - Utusan Malaysia

Kipas jadi makmum: Tindakan kurang pengetahuan agama

TANGKAP layar yang tular dalam media sosial trend kipas dijadikan makmum solat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan segelintir pihak yang mempermainkan ibadat solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum dianggap sebagai tindakan individu yang kurang pengetahuan dalam ilmu agama.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sehubungan itu setiap umat Islam perlu mempelajari ilmu agama termasuk memahami fiqh solat.

“Sewajarnya kita mempelajari ilmu agama dan memahami fiqh solat seperti imam, makmum yang perlu memahami syarat-syarat solat. Apabila seseorang hendak melakukan ibadat perlu belajar ilmu dalam Islam tentang fardu ain dan kafarah solat.

“Merujuk kepada isu ini, tindakan tersebut adalah tidak betul. Apabila membabitkan agama tanya para mufti, imam, para guru yang berkecimpung sehingga dapat menemukan jawapan serta dapat melaksanakan sebaiknya tanpa mengikut hawa nafsu.

“Mereka yang beribadat perlu selalu bertanya dan sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu maka banyak kelemahan dan kesilapan yang akan dilakukan. Ia bagi memastikan kesemuanya mengikut landasan yang betul,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditemui pemberita pada Majlis Pasca Raya Aidilfitri USIM di Nilai di sini hari ini.

Baru-baru ini timbul isu di media sosial berhubung trend bersolat bersama kipas di mana kipas itu dipakaikan telekung atau pakaian solat lelaki bagi menunjukkan kipas tersebut adalah makmum atau imam kononnya adalah pasangan hidup mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN