Khir, Zaharah diarah lantik hakam Islah kes cerai

Khir, Zaharah diarah lantik hakam Islah kes cerai

MOHAMAD Khir Toyo ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding penceraian dengan isterinya Zaharah Kechik di Mahkamah Rendah Syariah dekat Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Zaharah Kechik melantik hakam Islah bagi kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) didapati gagal mengislahkan perkahwinan kedua-dua pihak terlibat.

“Plaintif (Zaharah) masih tekad untuk berpisah manakala defendan (Mohamad Khir) mahu membincangkan hal (perceraian itu). Berikutan itu, kedua-dua pihak perlu melantik hakam Islah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Khir dan Zaharah masing-masing berusia 57 tahun tiba di mahkamah itu dengan peguam, kira-kira pukul 9 pagi.

Sementara itu, peguam mewakili Zaharah, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, pada Februari lalu.

“Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

“Oleh demikian, anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki untuk berbincang sebelum menyerahkan laporan kepada mahkamah,” jelasnya.

Kemudian, peguam Elly Jasmin Aminuddin yang mewakili Mohamad Khir, memaklumkan pihaknya akan menamakan hakam pada tarikh yang ditetapkan itu.

“Satu perbincangan akan turut dilakukan antara hakam-hakam Islah pada hari berkenaan. Sepanjang prosiding kes ini, kita akan melihat isu shiqaq itu sebenarnya berpunca daripada siapa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menegaskan beliau sehingga kini tidak mempunyai sebab untuk menceraikan Zaharah.

“Saya sudah memenuhi tanggungjawab sebagai suami sejak lebih 30 tahun lalu. Beliau minta cerai dan tak ada sebab bercerai. Saya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk ditentukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN