Khidmat Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan - Utusan Malaysia

Khidmat Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.

Makluman tersebut adalah merujuk sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2022 yang memaklumkan penamatan tersebut dibuat berdasarkan perbincangan bersama Pengerusi BN dan Fasal 23 perlembagaannya.

Surat yang ditandatangani Setiausaha BN Selangor, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman menyatakan, jawatan Ketua Penerangan peringkat negeri tidak termaktub dan tertera dalam perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantik Ketua Penerangan.

Bagaimanapun, Isham dalam satu kenyataan memberitahu, beliau akan terus membantu BN dan UMNO walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum dilantik.

“Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri. Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita. Sekiranya kita ikhlas, istiqamah dan sabar, Allah akan bantu dan berikan kita kejayaan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memaklumkan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dan memberi sokongan di sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak bekerjasama dan berjuang bersama saya sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Penerangan BN Selangor,” jelasnya.

Isham selepas Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri dilantik sebagai Ketua Penerangan BN Selangor menerusi satu surat daripada jawatankuasa negeri itu pada Mei 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya