KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti sama ada ketika ini mahupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan perlembagaan BN melibatkan tiga kategori yang merangkumi parti teras, parti gabungan atau friends of BN dan kerjasama direct membership.
Sehubungan itu katanya, ketiga-tiga kategori itu memperlihatkan keterbukaan bagi menerima mereka yang yakin dengan prinsip BN untuk bersama-sama dengan gabungan itu.
“Saya tidak mengkategorikan sama ada khemah itu besar, kecil atau sederhana. Yang penting khemah BN sedia untuk bekerjasama dengan siapa saja sama ada secara kesefahaman pada masa sekarang atau post election selepas PRU15,” katanya kepada pemberita di Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) bertemakan ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, Menara Dato Onn, di sini.
Semalam media melaporkan, Pas menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi PRU15 di bawah khemah besar.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui mengetahui agenda Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama di bawah khemah dengan pembangkang.
Bagaimanapun katanya, Pas menolak pendekatan cuba dibawa Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada pertemuan dengannya sebelum ini.
Mengulas mengenai kesediaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu dianggotai Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai BN, Ahmad Zahid berkata, perlembagaan gabungan itu memberikan gambaran bahawa kesediaan pihaknya untuk menerima bukan hanya PBM, tetapi parti-parti lain sebesar dan sekecil mana pun.
Bagaimanapun katanya, BN masih belum membuat sebarang keputusan dengan masih belum ada permohonan rasmi, setakat ini.
“Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara-perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak akan membuat keputusan seorang diri.
“Saya akan bincangkan dengan rakan-rakan di dalam kepimpinan dewan tertinggi BN untuk mencanaikan (memuktamdakan) tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon untuk menyertai BN.
“Tetapi terlalu awal untuk kita bincangkan,” katanya ketika ditanya sama ada pengagihan kerusi mengambil kira kemasukan parti-parti. – UTUSAN