PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan beliau menerima sejumlah dana daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) yang terbabit dalam perbicaraan rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy bagaimanapun bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkenaan dakwaan itu.
“Saya tidak pernah secara peribadi ada wang atau dana politik. Namun, saya bersedia beri kerjasama sepenuhnya jika dipanggil oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital kementerian itu, di sini hari ini.
Dalam prosiding mahkamah baru-baru ini, nama Khairy disebut sebagai antara penerima dana daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN) itu.
Nama lain yang disebut adalah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Selain itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) yang disebut sebagai ‘MOR’ dalam buku lejar UKSB dan Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar Negeri) turut dikaitkan dengan dana UKSB ketika prosiding hari ini.
Nama-nama tersebut didedahkan saksi pendakwaan ke-17 (SP17), David Tan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika menunjukkan kandungan buku lejar disimpan dalam sebuah pendrive.
Bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani semasa memberikan keterangan saksi di mahkamah berkata, beliau mengakui sumbangan itu diberikan namun tidak secara terus kepada Khairy, sebaliknya, diuruskannya sendiri menerusi pelbagai program, bantuan politik dan kebajikan.
Wan Quoris merupakan saksi pendakwaan ke-16 (SP16) mendedahkan, sumbangan tersebut tidak diberikan secara tetap atau bulanan, namun disalurkan bergantung kepada keperluan.
Ahmad Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,500 Euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. – UTUSAN