Keunikan Astana Tanjak jadi tumpuan

Keunikan Astana Tanjak jadi tumpuan

ORANG ramai bergambar di depan rumah dengan replika tanjak di atas bumbung dikenali Astana Tanjak di Labu Kubong, Chenderong Balai dekat Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Rumah yang mempunyai replika sebuah tanjak di bahagian bumbung di Labu Kubong, Chenderong Balai dekat sini disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini, menjadi tumpuan ramai.

Mereka terdiri daripada pengguna kenderaan yang melalui Jalan Tapah ke Teluk Intan, singgah di rumah itu untuk melihat dengan lebih dekat rumah dikenali Astana Tanjak itu.

Orang ramai yang singgah turut merakam gambar mereka di rumah tersebut.

Seorang wanita dari Cheras, Kuala Lumpur yang enggan namanya disiarkan berkata, dia mengetahui mengenai rumah tersebut menerusi laporan akhbar ini, baru-baru.

Katanya, dia tertarik melihat keunikan rumah tersebut yang melambangkan kemegahan budaya Melayu.

“Saya membaca di akhbar Utusan Malaysia mengenai rumah ini dan sangat tertarik melihat gambarnya kerana ia unik sekali gus berhasrat melihatnya sendiri.

“Hari ini kebetulan saya melalui jalan ini dan terus singgah di sini. Rumah ini mudah dari jauh untuk dilihat kerana mempunyai tanjak dan berwarna kuning.

“Saya kagum melihat rumah ini dan pastinya pemilik rumah ini seorang yang sayang, bangga dengan budaya sendiri apabila menjadikan tanjak sebagai replika di atas bumbung rumahnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, selain rumah bertanjak sebagai tarikan, dia seronok melihat suasana di kampung itu.

“Saya dan rakan-rakan dapat merasai suasana di kampung ini yang indah. Rumah bertanjak dan pemandangan serta suasana kampung mampu menjadikan tempat ini sebagai tumpuan pelancong,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini menyiarkan laporan keunikan rumah itu yang dibina replika di atas bumbung.

Dikenali sebagai Astana Tanjak, rumah berwarna kuning yang terdapat replika tanjak di bahagian atasnya menjadi perhatian pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tapah ke Teluk Intan.

Idea pembinaan tanjak itu dicetuskan oleh pemiliknya, Zaidatul Mardiah Yussuf, 44, iaitu anak jati kampung itu yang merupakan seorang ahli perniagaan yang menetap di Kuala Lumpur dan beliau membina rumah itu sebagai rumah rehat.

Zaidatul Mardiah membina replika tanjak sebagai lambang kecintaannya terhadap seni dan budaya sendiri, budaya Melayu.

Kata Zaidatul Mardiah berkata, selain itu beliau membina rumah yang dilengkapi tanjak sebagai inspirasi daripada seseorang yang amat disayanginya tetap sudah meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN