Kerusi Gerakan diberi kepada Friends of BN - Ahmad Maslan

Kerusi Gerakan diberi kepada Rakan BN – Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen mahupun Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) yang dahulunya ditandingi Gerakan ketika berada di bawah Barisan Nasional (BN) akan diteliti untuk diisi dan ditandingi gabungan Rakan BN atau  Friends of BN serta beberapa parti komponen dalam parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, ini kerana kekosongan tersebut perlu diteliti dan diisi oleh calon yang sela­yaknya bagi memenangkan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, bagaimanapun buat masa ini, tiada sebarang kata putus mengenai isu tersebut kerana masih berada di pe­ringkat perundingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak ada apa-apa yang muktamad setakat ini mengenai isu agihan kerusi kerana semua­nya masih berada dalam peringkat perundingan.

“Cuma, pada PRU15 ini terdapat kerusi Gerakan yang kosong perlu diisi, mungkin diberi kepada beberapa parti politik dan mungkin juga diagihkan juga kepada Friends of BN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Parti itu yang diketuai Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai juga telah membuat keputusan keluar daripada BN untuk menjadi parti bebas, namun kini menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pucuk kepemimpinan BN perlu mencari kata sepakat dalam hal memberi peluang kepada calon dalam kalangan parti gabungan itu (Friends of BN) bertanding dalam PRU15 nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam masa yang sama turut mengulangi kenyataan bahawa BN pasti akan memberi peluang kepada Friends of BN sebagai calon dalam PRU15.

“Saya pasti akan beri pe­luang, di mana (kerusi), kita boleh bincang,” katanya ringkas.

Friends of BN terdiri daripada Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut meminta semua akar umbi UMNO bersiap sedia kerana PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri yang tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan lebih awal iaitu sebelum Julai 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×