PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang didakwa menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan kes berkenaan telah pun selesai.
“Jadi, kita hanya perlu tunggu keputusan dan tindakan lanjut DPP berkenaan kes itu.
“Kertas siasatan berkenaan kita siasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, pelakon terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1 petang tadi. – UTUSAN










