KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi de-ngan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau terpaksa akur pada arahan dan menandata-ngani SD itu selepas bermasam muka dengan presiden parti.
“Saya saksi hidup. Faham tak saksi hidup? Memang ada SD yang ditandatangani menyokong Anwar sebagai perdana menteri. Surat ditulis kepada istana memang ada. Saya pun digesa. (Tetapi) saya tak nak. Saya kata saya tak nak.
“Tapi akhir sekali dah sampai bermasam muka, saya tandatangan jugalah. Macam mana kata tak ada? Saya saksi hidup.
“Bila dia (Ahmad Zahid) dipersoalkan dia jawab No DAP No Anwar? Bohong… dia berbohong kepada ahli UMNO. Ramai yang tak tahu. Kesian ahli-ahli UMNO di bawah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Tajuddin telah digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Ter-tinggi (MKT) UMNO, dengan surat pemakluman dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan Selasa lalu.
Di dalam surat itu tidak dinyatakan sebab mengapa beliau digugurkan, namun Presiden UMNO itu berkata, kritikan terbuka dan pandangan bertentangan dengan keputusan parti adalah antara faktor Tajuddin digugurkan.
Peribadi
“Dalam hal ini, saya sangat berlapang dada, jika secara peribadi (keputusan) saya tidak dipersetujui, secara peribadinya. Tetapi apabila keputusan parti tentukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan parti,” jelas Zahid dilapor sebelum ini.
Tajuddin dalam sidang media itu turut menyebut beberapa nama yang menandatangi SD berkenaan, antaranya Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Nazri ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam mengesahkan SD itu wujud dan beliau menandatanganinya.
“Betul. Saya tandatangan. Kita bagi Najib (Datuk Seri) simpan SD itu. Ada yang tandatangan, ada yang tak mahu, ada juga yang tandatangan kemudian.
“Saya sokong ketika itu sebab Tun Mahathir Mohamad nak serah kepada Anwar jawatan Perdana Menteri. Ketika itu Tun Mahathir nak bubarkan UMNO. Tetapi Anwar kata kalau dia menjadi Perdana Menteri, dia berjanji untuk tidak bubarkan UMNO. Sebab itu saya sokong.
“Seingat saya, Zahid, Najib tandatangan dan Ahmad Maslan mula-mula takut, lama-lama dia pun tandatangan juga,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tajuddin turut mendedahkan terdapat gerakan yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatan Presiden UMNO.
Turut terlibat dalam perbincangan itu, beberapa pimpinan tertinggi termasuklah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tok Mat dan Bossku (Najib) dan lain-lain yang saya sebutkan tadi kita nak buat satu memorandum. Ia pada Mei 2020 dan perhimpunan itu dibuat di rumah saya.
“Kita nak minta dia turun secara baik. Kita tak naklah tendang-tendang. Minta kita buat tinjauan ketua-ketua bahagian.
“Berapa ketua bahagian yang setuju? Saya ingat 130 orang ketua bahagian. Perak 18 orang ketua bahagian,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia cuba menghubungi Mohamad dan Asyraf Dusuki bagaimanapun gagal.- UTUSAN










