Kerjasama syarikat Malaysia-Belanda rangsang pertanian pintar

Kerjasama syarikat Malaysia-Belanda rangsang pertanian pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkembangan digital memudahkan pengurusan pertanian sekali gus mampu membantu meningkatkan hasil keluaran tanaman petani lebih produktif menerusi amalan pertanian pintar.

Pengarah Urusan Idea Company Sdn. Bhd., Zachary Aman berkata, faedah penggunaan teknologi pertanian pintar ini memberi impak pengeluaran makanan lebih besar, meningkatkan pendapatan petani, penggunaan sumber dan input pertanian lebih cekap.

“Ia juga mengurangkan kebergantungan dan keperluan tenaga kerja dan pemahaman lebih baik tentang proses mengusahakan tanaman.

“Melalui penggunaan teknologi pertanian persis pintar, keperluan tanaman mampu dipenuhi pada masa yang ditetapkan dengan jumlah yang betul dan ukuran tepat. Hasilnya lebih berkualiti serta kawalan risiko lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu satu perjanjian kerjasama dengan Hoogendoorn Growth Management ditandatangani yang disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Timbalan Duta Belanda ke Malaysia, Eva Oskam.

Tambahnya, penggunaan teknologi pintar seperti Internet of Things membantu para petani tempatan membuat keputusan tanaman lebih tepat.

“Justeru kerjasama teknologi dengan syarikat Hoogendoorn Growth Management dari Belanda ini mengukuhkan kami untuk menambah baik dan menggalakkan penggunaan alat pertanian pintar dalam kalangan petani bagi mengoptimumkan pengeluaran menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Zachary berkata, kerjasama itu membolehkan petani Malaysia lebih bersedia mengurus mekanisme operasi penting dalam pertanian tanpa perlu membuat agakan dan mengurangkan kebolehubahan.

“Ini dicapai dengan menggunakan data dan maklumat empirikal untuk membantu petani tempatan memahami hubungan antara pembolehubah dan output.

“Aspek-aspek ini menyumbang kepada gambaran lebih besar tentang pertanian pintar dan peranan utama yang dimainkannya dalam usaha negara mencapai sekuriti makanan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN