PETALING JAYA: Kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persekitaran kediaman ditawarkan juga sentiasa selesa, kondusif, mesra keluarga, praktikal dan mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga memperkenalkan program Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah,” katanya dalam ucapan hari ini.
Beliau berucap sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM), Residensi SkyAwani 3 di Jalan Santuasi, Setapak, di sini.
Residensi itu dibina di atas tanah berkeluasan 4.55 ekar dan menawarkan tiga blok bangunan 52 tingkat menempatkan 1,905 unit kediaman berharga RM300,000 seunit.
Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua biilik air berkeluasan 800 kaki persegi dan sebuah petak tempat letak kereta berbumbung malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, bubble jet jaccuzzi, gelanggang bola keranjang dan dewan serbaguna.
Residensi SkyAwani 3 mempunyai SkyBridge diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Skybridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter. -UTUSAN










