Keputusan rayuan Abdul Azeez batal pertuduhan 1 Julai - Utusan Malaysia

Keputusan rayuan Abdul Azeez batal pertuduhan 1 Julai

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Julai ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim sewaktu sebutan perbicaraan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi yang turut disahkan oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad mewakili Abdul Azeez.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status keputusan rayuan tersebut dan juga perkembangan representasi. Tarikh itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sementara itu, Nik Haslinie turut memaklumkan, pihak pendakwaan masih mengkaji representasi yang dikemukakan oleh Abdul Azeez.

Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan, pihaknya bersetuju agar tarikh sebutan ditetapkan selepas 1 Julai bagi memberi masa yang mencukupi kepada pihak pendakwaan mengkaji representasi yang dikemukakan.

Sementara itu, Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata representasi itu yang dihantar kepada AGC pada Mac lalu adalah supaya pertuduhan terhadap Abdul Azeez ditarik balik dengan mengemukakan fakta-fakta dan bukti yang menyokong kepada pembelaan.

Prosiding hari ini ditetapkan untuk perkembangan status perbicaraan sementara menunggu rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan pertuduhannya terhadapnya, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Beliau berpuas hati, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pramatang pada peringkat ini jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Abdul Azeez dibicarakan atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya