Keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger dibatalkan - Utusan Malaysia

Keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger dibatalkan

LONG TIGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Mahkamah Tinggi Muar hari ini membatalkan keputusan untuk melepas tanpa membebaskan lelaki etnik Rohingya, Long Tiger terhadap kes peras ugut di Mahkamah Majistret Tangkak, 17 Mei lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan perkara itu kepada tertuduh, Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, selepas mendapati berlaku kekhilafan terhadap keputusan yang dibuat.

Justeru, mahkamah memerintahkan 5 Jun ini bagi sambungan perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak, dengan memanggil saksi pendakwaan lain.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh yang berdepan tiga lagi pertuduhan diikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh diwakili peguam, Puteri Aisyah Zahirah Zakaria.

Pada 17 Mei lalu, Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Long Tiger yang menghadapi pertuduhan tersebut.

Majistret Zaridah Abdul Jaapar membuat perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada pertengahan perbicaraan.

Pada 20 Januari lalu pula, Long Tiger dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah itu kira-kira pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Long Tiger juga kini berdepan perbicaraan bagi kes di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 342 kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh melibatkan saksi pendakwaan sama seperti kes di bawah Seksyen 388.

Dia turut masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama kerana merogol di Mahkamah Muar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya