covid-19

Keputusan 407,097 calon SPM 2021 hari ini

Lebih 400,000 calon Sijil Peperiksaan Malaysia 2021 seluruh negara akan menerima keputusan masing-masing hari ini. – utusan/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menerima keputusan masing-masing hari ini.

Ia meliputi calon yang menduduki peperiksaan pada 2 hingga 29 Mac lalu bagi sesi pertama, manakala 85,700 calon lagi menduduki peperiksaan pada 5 April hingga 19 Mei bagi sesi kedua.

Keputusan kali ini mencabar kerana mereka adalah kumpulan calon SPM pertama yang menduduki peperiksaan terbesar negara itu ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Kumpulan ini juga yang paling lama mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) iaitu lebih tujuh bulan.

Mereka juga adalah calon SPM pertama yang menggunakan format baharu sejajar dengan pengenalan pakej mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pakej Sastera dan Kemanusiaan yang mula dilaksanakan untuk pelajar tingkatan empat.

Pengenalan pakej mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) itu menyebabkan berlakunya perubahan dalam format peperiksaan SPM 2021.

Sebelum ini, sejumlah 85,700 calon SPM tidak dapat menduduki sesi pertama peperiksaan kerana terkesan akibat jangkitan Covid-19 dan banjir yang bermula hujung tahun lalu hingga awal tahun ini.

Malah, seramai 84,949 calon tidak dapat menduduki SPM disebabkan jangkitan Covid-19, manakala 751 lagi terkesan banjir.

Di sebalik kekangan yang dihadapi calon SPM 2021, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalullail Abdul Wahab menyifatkan, pencapaian dalam SPM bukanlah satu-satunya penanda aras kejayaan dalam kehidupan, sebaliknya ia adalah cabaran permulaan untuk merancang masa hadapan.

“Mana yang cemerlang kita ucapkan tahniah, pada yang tidak, jangan anggap SPM sebagai segala galanya, terima dengan hati yang kuat, ini bukanlah apa yang pengakhir bagi segalanya, ini adalah permulaan.

“Buat yang berjaya boleh teruskan atur perjalanan seterusnya melalui akademik, mana yang sederhana dan kurang berjaya, teruskan dengan minat yang diingini dan melanjutkan pelajaran berkaitan yang diminati itu,” katanya.

Tambahnya, sekarang peluang terbuka luas dalam mendapatkan pelajaran termasuk mereka yang menceburi bidang kemahiran, tawaran pelajaran sektor kemahiran ada sehingga tahap ijazah sarjana muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN